Ucapan Membahas Usul Menjunjung Kasih ADUN DAP Damansara Utama Yeo Bee Yin pada 2 Julai 2013 (Selasa) di Persidangan Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor, Shah Alam.
Terima kasih kepada Puan Speaker kerana memberi peluang kepada Damansara Utama untuk turut serta menyokong usul menjunjung kasih titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada 28 Jun 2013. Salam sejahtera diucapkan kepada semua ahli Yang Berhormat. Salam reformasi dan Salam Ubah.
Puan Speaker, Selangor merupakan negeri yang paling kaya di Malaysia dan menyumbangkan hampir satu perempat KDNK Malaysia. Kita juga mempunyai kadar penduduk yang paling ramai di Malaysia, iaitu sebanyak 5.46 juta penduduk. Komposisi etnik Selangor di mana 51 peratus Melayu, 26 peratus Cina dan 13 peratus India juga merupakan komposisi yang mencerminkan etnik yang terdapat di Malaysia, di mana Melayu, Cina, India masing-masing 50%, 23% dan 7%. Dengan itu, pentadbiran Selangor sebenarnya merupakan satu projek perintis bagi kerajaan pakatan rakyat dalam mempersiapkan diri untuk mentadbir Putrajaya bagi menggantikan kerajaan minoriti di Putrajaya pada masa akan datang.





