Blog

Monday, July 15, 2024

Parliamentary Debate on Evidence of Child Witness (Amendment) Bill & Sexual Offences Against Children (Amendment) Bill

 


15 July 2024 (Bahasa Malaysia version)

Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017


1.    Terima kasih Tan Sri Speaker kerana izinkan Puchong untuk turut serta dalam perbahasan RUU pindaan Akta Kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak 2017.

2.    Puchong sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada BHHEU kerana telah membawa pindaan akta-akta yang akan lebih melindungi hak kanak-kanak dalam keterangan saksi kanak-kanak yang melibatkan pindaan kepada enam (6) akta yang berkaitan iaitu – Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak 2007, Akta Keterangan 1950, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, Akta Sumpah dan Ikrar 1949, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 dan Akta Angkatan Tentera 1972.

Thursday, July 4, 2024

Dewan Rakyat Oral Question 2024 to the Minister of Health | 4 July 2024

4 July 2024, Thursday (Bahasa Malaysia Version)

SOALAN 

PUAN YEO BEE YIN (PUCHONG) minta MENTERI KESIHATAN menyatakan perkembangan Tabung Penyakit Jarang Jumpa : 

(a) memandangkan dana di tabung ini adalah terhad, bagaimana pembahagian dana ditetapkan. Apakah mekanisme untuk memastikan pembahagian dana adalah adil; dan 

(b) apakah langkah-langkah yang diambil untuk menurunkan kos rawatan (ubat) penyakit jarang jumpa. 


JAWAPAN 

Tuan Yang di-Pertua,

1. Tabung amanah untuk Penyakit Jarang Jumpa telah diwujudkan selepas mendapat kelulusan Perbendaharaan pada tahun 2022 di mana ia diselaraskan oleh Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur (HTAKL). Dana untuk tabung tersebut diperolehi daripada derma yang diberikan oleh individu dan persatuan tertentu. 

2. Memandangkan kos rawatan penyakit jarang jumpa adalah tinggi dan dana yang dikumpulkan dalam tabung amanah adalah terhad, maka, bagi memastikan transparency dan ketelusan dalam pengagihan dana kewangan yang diperolehi dari tabung amanah ini adalah adil bagi kesemua 492 penyakit jarang jumpa yang tersenarai di dalam Malaysian Rare Disease List, maka satu ‘framework’ untuk penilaian rawatan menggunakan pendekatan eksplisit dan berstruktur bagi proses membuat keputusan melibatkan pelbagai kriteria yang dikenali sebagai multiple criteria decision analysis (MCDA) telah ditetapkan. MCDA membantu dari segi kualiti dalam membuat sesuatu keputusan. Analisa MCDA telah dicadangkan untuk dijalankan setiap 2 hingga 3 tahun untuk memastikan semua 492 penyakit jarang jumpa ini mendapat peluang yang sama dan adil dalam menggunakan dana dari tabung amanah tersebut. Framework MCDA ini membantu menilai teknologi kesihatan berkaitan penyakit jarang jumpa dan memberi input dalam pengurusan peruntukan sumber dana oleh jawatankuasa yang berkaitan.

3. Berkenaan langkah-langkah yang diambil untuk menurunkan kos rawatan (ubat) penyakit jarang jumpa, KKM akan melaksanakan perolehan secara tender terbuka bagi ubat-ubatan bernilai tinggi untuk memastikan pulangan nilai terbaik kepada Kerajaan berdasarkan prinsip economies of scale. 

4. Perolehan melalui kaedah tender terbuka dapat mewujudkan persaingan harga yang sihat serta memastikan tawaran harga yang lebih kompetitif oleh petender yang seterusnya memberi manfaat kepada Kerajaan. 

5. Rundingan harga akan dijalankan untuk menurunkan harga ubat jika perlu. Maklumat harga ubat dalam negara akan dibandingkan dengan harga ubat antarabangsa dan dirundingkan untuk mendapatkan harga yang lebih berpatutan. 

Sekian, terima kasih.

Tuesday, July 2, 2024

Dewan Rakyat Oral Question 2024 to the Minister of Education | 2 July 2024

2 July 2024, Tuesday (Bahasa Melayu Version)


SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan apakah kelayakan minimum dari segi keputusan SPM/matrikulasi/CGPA (dalam pendidikan tinggi) dan lain-lain kriteria dalam pengambilan guru ke maktab guru. Dalam pengambilan guru terkini, berapa peratus yang mencapai 7A ke atas di SPM dan CGPA 3.0 dan ke atas.


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited dalam melaksanakan pengambilan guru. KPM menawarkan latihan praperkhidmatan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Matrikulasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Setakat ini KPM telah mengeluarkan iklan permohonan PISMP bagi lepasan SPM, STPM, Matrikulasi dan STAM. Permohonan dibuka bermula 14 Mac hingga 15 April 2024.

Syarat kelayakan minimum bagi:

a) SPM

i. LULUS SPM dengan memperoleh gred CEMERLANG dalam mana-mana lima mata pelajaran.

ii. Memperoleh sekurang-kurangnya gred KEPUJIAN dalam tiga mata pelajaran berikut di peringkat SPM iaitu Bahasa Melayu; Bahasa Inggeris; dan Sejarah.


b) Matrikulasi (Mulai 2024)

i. LULUS SPM dengan memperoleh sekurang-kurangnya gred KEPUJIAN dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat SPM. Kepujian Bahasa Melayu SPM Ulangan boleh diambil kira.

ii. Memperoleh sekurang-kurangnya gred LULUS dalam mata pelajaran berikut di peringkat SPM iaitu Bahasa Inggeris dan Sejarah.

iii. LULUS program Matrikulasi dengan memperoleh sekurang kurangnya PNGK 3.5.


c) STPM (Mulai 2024)

i. LULUS SPM dengan memperoleh sekurang-kurangnya gred KEPUJIAN dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat SPM. Kepujian Bahasa Melayu SPM Ulangan boleh diambil kira.

ii. Memperoleh sekurang-kurangnya gred LULUS dalam mata pelajaran berikut di peringkat SPM iaitu Bahasa Inggeris; dan Sejarah

iii. LULUS STPM dengan memperoleh sekurang-kurangnya PNGK 3.5.


d) STAM (Mulai 2024)

i. LULUS SPM dengan memperoleh sekurang-kurangnya gred KEPUJIAN dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat SPM. Kepujian Bahasa Melayu SPM Ulangan boleh diambil kira.

ii. Memperoleh sekurang-kurangnya gred LULUS dalam mata pelajaran berikut di peringkat SPM iaitu Bahasa Inggeris; dan Sejarah.

iii. LULUS STAM dengan memperoleh sekurang-kurangnya gred JAYYID JIDDAN.


Selain dari kelayakan akademik, calon juga hendaklah melepasi Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG), temu duga dan Ujian Kecergasan Fizikal (UKF). Calon yang melepasi semua syarat akan dipilih berdasarkan skor merit untuk ditawarkan pengajian di IPG Kampus.

Berdasarkan data ambilan tahun 2023, peratus yang mencapai 7A ke atas dalam SPM adalah sebanyak 66%.

Sekian, terima kasih.

Wednesday, April 17, 2024

Parliamentary Debate on Cyber Security Bill 2024

 

27 March 2024 (Bahasa Malaysia Version)

1.      Terima kasih Tuan Speaker kerana telah izinkan Puchong untuk membahas RUU Keselamatan Siber 2024. 

2.      Pertama sekali, Puchong ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Menteri Digital kerana dalam 3 bulan sahaja menjadi Menteri telah berjaya membentang RUU yang begitu penting untuk negara ini dalam era moden ini.

3.      Keselamatan siber ialah amalan melindungi sistem, rangkaian dan program daripada serangan digital.

4. Serangan siber ini biasanya bertujuan untuk mengakses, mengubah atau memusnahkan maklumat sensitif; memeras wang daripada pengguna atau mengganggu proses perniagaan biasa. 

Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja

 

4 Mac 2024 (Bahasa Malaysia Version)

1.    Terima kasih Tan Sri Speaker kerana izinkan Puchong untuk mengambil bahagian dalam perbahasan titah ucapan Tuanku.

2.    Pertama sekali, Puchong ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tuanku kerana telah menegaskan di dalam ucapan bahawa baginda tidak akan melayan permintaan daripada mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan politik negara.

3.    Kenyataan Tuanku ini telah “once and for all” mengukuhkan pentadbiran Kerajaan Perpaduan untuk masa 4 tahun yang akan datang dan sekaligus memberi suntikan keyakinan yang sangat kuat kepada pelabur-pelabur di luar sana terhadap kestabilan politik. 

Tuesday, March 12, 2024

Dewan Rakyat Oral Question 2024 to the Minister of Higher Education | 12 March 2024

12 March 2024, Tuesday (Bahasa Melayu Version)



SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PENDIDIKAN TINGGI menyatakan:

(a) berapakah house officer (HO) yang sedang berkhidmat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan apakah jumlah yang diperlukan untuk memberi perkhidmatan yang optimal; dan

(b) adakah PPUM sedang menggunakan “zero HO protocol”.


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

1. Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) telah diperuntukkan 400 perjawatan Pegawai Perubatan Siswazah / House Officer (PPS / HO) berstatus ‘contract of service’ yang dibayar menggunakan peruntukan OS29000 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

2. Sehingga 31 Januari 2024, jumlah pengisian PPS di PPUM adalah seramai 143 orang. Ini bermaksud terdapat 257 jawatan PPS di PPUM yang belum diisi sehingga tarikh yang dinyatakan.

3. Dalam hal ini, PPUM memerlukan sekurang-kurangnya 276 hingga 345 orang PPS untuk memberikan perkhidmatan yang optimum.

Tuan Yang di-Pertua,

4. Untuk makluman, istilah zero HO protocol tidak pernah wujud dalam aspek pengoperasian hospital sebelum ini. Istilah ini baru diwujudkan sebagai merujuk kepada cadangan pengubahsuaian pengendalian tugas harian untuk mengatasi masalah kekurangan PPS di PPUM .

5. PPUM tidak pernah mengarahkan agar zero HO protocol diaktifkan di hospital ini. Ini disebabkan PPUM sentiasa komited untuk melaksanakan fungsinya sebagai sebuah Hospital Pengajar Universiti (HPU) walaupun berhadapan dengan kekurangan PPS seperti yang dialami sekarang.

Sekian, terima kasih. 

Wednesday, March 6, 2024

Dewan Rakyat Oral Question 2024 to the Minister of Home Affairs| 6 March 2024

6 March 2024, Wednesday (Bahasa Melayu Version)

SOALAN
PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan :
(a) berapakah tuala wanita dan sabun yang dibekalkan secara percuma kepada banduan wanita dan mereka yang menunggu hukuman mati (jika berbeza); dan

(b) langkah-langkah yang diambil untuk meningkatkan sanitori penjagaan haid di kalangan banduan wanita. 

JAWAPAN
Tuan Yang Di Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pemberian tuala wanita dalam bentuk 'kit asas kebersihan' dibekalkan kepada semua prospek wanita (banduanita) bagi semua kategori kesalahan termasuk prospek hukuman mati. Setiap prospek dibekalkan tuala wanita dalam tempoh sebulan dan akan dibekalkan dari semasa ke semasa sekiranya terdapat keperluan tambahan. Setiap prospek juga akan dibekalkan dengan sebuku sabun dengan anggaran seberat 90 gram seorang.

Antara langkah-langkah yang diambil bagi memastikan sanitari penjagaan haid di kalangan prospek wanita, selain daripada pembekalan tuala wanita seperti yang dinyatakan tadi, adalah:

i. Sentiasa memberikan taklimat dan kesedaran kepada prospek wanita mengenai isu berkaitan penjagaan haid dan kesihatan;

ii. Pemeriksaan dan kawalan terhadap penggunaan tuala wanita sentiasa dititikberatkan supaya penggunaannya mengikut prosedur yang ditetapkan; dan

iii. Memastikan tuala wanita yang telah digunakan dibuang ke dalam tempat khas yang disediakan dan dilupuskan pada setiap hari. 

Tuesday, March 5, 2024

Dewan Rakyat Oral Question 2024 to the Minister of Health | 5 March 2024

5 March 2024, Tuesday (Bahasa Malaysia Version)

SOALAN 

PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan jumlah graduan perubatan setiap tahun : 

(a) berapakah yang mendapat jawatan house officer (HO) di hospital-hospital kerajaan; dan 

(b) jumlah graduan perubatan yang memilih untuk mendapat kerja di luar negara setiap tahun dari 2010 hingga sekarang. Apakah trennya.


JAWAPAN 

Tuan Yang di-Pertua, 

1. Pada masa ini, sebanyak 12,198 slot latihan siswazah perubatan telah disediakan. Setakat 31 Disember 2023, sebanyak 6,480 daripada slot ini telah diisi dan bakinya akan diisi menerusi urusan pengambilan kontrak pada tahun 2024. 

2. Daripada jumlah tersebut, seramai 6,082 pegawai menjalani latihan siswazah perubatan di hospital Kementerian Kesihatan, manakala 398 orang lagi di tiga (3) Hospital Pengajar Universiti Awam di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi. 

3. Buat masa ini, Kementerian Kesihatan melalui Majlis Perubatan Malaysia tidak mempunyai maklumat berhubung graduan perubatan yang mengambil keputusan untuk bekerja di luar negara. Justeru, Kementerian tidak dapat menyediakan trend graduan perubatan yang memilih untuk bekerja di luar negara. 

Sekian, terima kasih.