Blog

Monday, November 4, 2024

Dewan Rakyat Written Question 2023 to the Minister of Education

DEWAN RAKYAT WRITTEN QUESTION AT THE SECOND PROCEEDING, TERM 2, THE 15TH PARLIAMENT, 2023 (BAHASA MALAYSIA VERSION)


SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan anggaran kos projek bagi pembinaan sekolah baru seperti Sekolah Kebangsaan Cyberjaya (2), Sepang, Selangor, Sekolah Kebangsaan Setia Alam (2), Petaling Perdana, Selangor, Sekolah Kebangsaan Paya Dusun, Dungun, Terengganu, Sekolah Menengah Kebangsaan Dudong, Sibu, Sarawak, Sekolah Menengah Kebangsaan Denai Alam, Shah Alam, Selangor, Sekolah Menengah Kebangsaan Johan Setia, Klang, Selangor dan Sekolah Menengah Kebangsaan Nabalu, Tuaran, Sabah.


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited dalam menyediakan infrastruktur pendidikan yang selamat dan kondusif untuk kegunaan murid dan warga sekolah di seluruh negara.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) Rolling Plan 3 (RP3) tahun 2023, KPM telah diluluskan sebanyak tujuh projek pembinaan sekolah baharu seperti yang dinyatakan oleh Ahli Yang Berhormat Puchong. Anggaran kos untuk kesemua tujuh projek tersebut adalah berjumlah RM560 juta. Skop projek bagi pembinaan sekolah baharu adalah melibatkan kerja awalan, kerja tanah, kerja infrastruktur, pembayaran fee dan caj pembangunan, kerja pembinaan struktur bangunan iaitu blok akademik, blok pentadbiran, kemudahan lain mengikut piawai serta perabot, peralatan dan perkakasan. 

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, anggaran kos semasa permohonan projek dilaksanakan melalui Public Sector Comparator oleh berdasarkan kos projek terdahulu serta pembolehubah lain yang berkaitan. Anggaran kos projek ini adalah secara kasar dan perlu dinilai serta diteliti semula oleh pelbagai pihak seperti Kementerian Ekonomi dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebaik sahaja projek diluluskan. Preliminary Details Abstract (PDA) akan dibangunkan oleh agensi teknikal setelah menjalankan kerja ukur serta siasatan tanah dengan mengambil kira situasi semasa di tapak. Selain itu, selaras dengan Pekeliling Unit Perancang Ekonomi Bil. 1 Tahun 2015, kos projek yang terbaik dan optimum akan ditentukan melalui pelaksanaan pengurusan nilai projek melalui Makmal Kajian Nilai oleh Kementerian Ekonomi serta Makmal Kejuruteraan Nilai oleh pihak JKR.

Sekian, terima kasih.

Dewan Rakyat Written Question 2024 to the Minister of Education

DEWAN RAKYAT WRITTEN QUESTION AT THE SECOND PROCEEDING, TERM 3, THE 15TH PARLIAMENT, 2024 (BAHASA MALAYSIA VERSION)

SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan senarai syarikat-syarikat yang mendapat kontrak pembersihan dan sekuriti daripada Kerajaan mengikut zon. 


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua, Untuk makluman, maklumat berkenaan syarikat-syarikat kontraktor bagi Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK) dan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan (PKK) adalah seperti berikut: 




Sekian, terima kasih.

Dewan Rakyat Oral Question 2023 to the Minister of Education | 7 November 2023

7 November 2023, Selasa


SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan sama ada Kementerian akan membawa pindaan kepada Akta Pendidikan untuk menjadi persekolahan mandatori dari tahun 6 ke tahun yang lebih tinggi umpamanya tahun 9 ataupun sehingga SPM.


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyediakan draf Rang Undang-undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) bagi cadangan pelanjutan pendidikan wajib daripada enam tahun kepada 11 tahun persekolahan. Cadangan pelanjutan dasar ini antara lain bertujuan untuk memastikan setiap kanak-kanak warganegara Malaysia mendapat kesamarataan peluang pendidikan bagi mengembangkan potensi masing masing sehingga ke peringkat menengah. Bagi memperkemaskan draf rang undang-undang yang sedang digubal, KPM mengambil pelbagai inisiatif termasuk mengadakan sesi libat urus bersama-sama pelbagai pihak berkepentingan seperti kementerian dan agensi kerajaan berkaitan. Draf RUU berkenaan akan dibentangkan di Parlimen setelah diluluskan pada semua peringkat pembuat keputusan, termasuk dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

Sekian, terima kasih.

Dewan Rakyat Oral Question 2023 to the Minister of Education | 8 June 2023

8 June 2023, Thursday (Bahasa Malaysia Version)


SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan jumlah Program Diploma Vokasional Malaysia (DVM) yang ditawarkan oleh kolej-kolej vokasional di seluruh negara yang belum mendapat akreditasi penuh dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) ataupun Malaysian Board of Technologist (MBOT).


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, terdapat sebanyak 606 penawaran program diploma di 81 buah kolej vokasional (KV) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Daripada jumlah tersebut, sebanyak 243 program diploma telah mendapat pengiktirafan akreditasi penuh oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), manakala 363 program diploma telah mendapat akreditasi penuh dari Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT). Ini menjadikan kesemua program diploma di KV KPM mendapat akreditasi penuh.

KPM komited untuk memastikan pemantauan berterusan dilaksanakan bagi menjamin kualiti program mematuhi standard badan akreditasi.

Sekian, terima kasih.

Dewan Rakyat Oral Question 2023 to the Minister of Education | 12 June 2023

12 June 2023, Monday (Bahasa Melayu Version)


SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan peratusan kanak-kanak yang mula menerima pendidikan awal dari umur 3, 4, 5 dan 6 tahun dan langkah-langkah yang diambil untuk menutup jurang perbezaan terhadap akses kepada pendidikan awal yang berkualiti untuk mereka dari keluarga berpendapatan rendah dan tinggi.


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, berdasarkan data pada tahun 2022, seramai 447,645 orang iaitu 88.81 peratus murid yang belajar di prasekolah mengikut umur 5+. Sementara bagi murid berumur 4+ yang belajar di prasekolah adalah seramai 360,994 orang iaitu 71.54%.

KPM sentiasa komited untuk menambah bilangan kelas prasekolah bagi memastikan setiap kanak-kanak mendapat akses kepada pendidikan awal kanak-kanak. Dalam mencapai hasrat untuk meningkatkan enrolmen prasekolah, KPM sentiasa memastikan peluasan kelas dilaksanakan terutama di kawasan yang mempunyai keperluan dan permintaan yang tinggi.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, bilangan kelas prasekolah baharu yang dibuka pada tahun 2022 adalah sebanyak 75 buah. Bagi tahun 2023 pula, KPM telah melaksanakan peluasan sebanyak 118 buah kelas prasekolah yang telah mula beroperasi mulai 20 Mac 2023 di pelbagai jenis sekolah bawah KPM. Peluasan ini telah menjadikan jumlah kelas prasekolah secara keseluruhan adalah sebanyak 9,908 buah. Pelaksanaan peluasan ini akan diteruskan setiap tahun kerana ia memberi lebih peluang kepada kanak-kanak untuk mengikuti pendidikan prasekolah bawah KPM.

Kempen bagi menggalakkan kemasukan ke prasekolah KPM menjadi antara agenda utama di KPM, jabatan pendidikan negeri (JPN) dan pejabat pendidikan daerah (PPD) bagi menyokong Inisiatif Peningkatan Enrolmen Prasekolah di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 2025. Kempen-kempen tersebut secara tidak langsung dapat meningkatkan kesedaran ibu bapa dan masyarakat tentang pendidikan awal kanak-kanak. Antara aktiviti yang dilaksanakan dengan kerjasama JPN, PPD dan sekolah serta masyarakat adalah:

i. hebahan kemasukan ke prasekolah KPM melalui portal KPM serta media sosial KPM dan membuat hebahan melalui banting dan risalah;
ii. melaksanakan Kempen Prasekolah Selamat, Bersih, Ceria dan Kreatif;
iii. jerayawara oleh JPN untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa tentang pendidikan prasekolah;
iv. Program Hari Bertemu Pelanggan;
v. Kempen Jom masuk Prasekolah;
vi. Program Lawatan Cakna (Program turun padang ke rumah rumah berdekatan sekolah yang didapati tidak menghantar anak ke prasekolah); dan
vii. Hari Terbuka Pendaftaran Prasekolah di peringkat sekolah/daerah.

Selain itu, KPM telah menyediakan bantuan yuran persekolahan prasekolah swasta sebanyak RM1.079 juta pada tahun 2022 dan sebanyak RM1.1 juta pada tahun 2023. Tujuan bantuan yuran persekolahan prasekolah adalah memberi peluang kanak-kanak berusia 4+ dan 5+ untuk menerima akses pendidikan prasekolah di prasekolah swasta khususnya bagi kawasan yang mana perkhidmatan pendidikan prasekolah oleh KPM atau agensi kerajaan tidak mencukupi bagi kanak-kanak daripada keluarga B40. 

Sekian, terima kasih.

Dewan Rakyat Oral Question 2023 to the Minister of Education | 21 March 2023

21 March 2023, Tuesday (Bahasa Melayu Version)


SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan sama ada Kementerian ada rancangan untuk mengubah kembali tarikh pembukaan sekolah dari Mac ke Januari.


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyedari bahawa sesi persekolahan secara bersemuka untuk tahun 2020 dan tahun 2021 tidak dapat dilaksanakan seperti mana kebiasaan akibat penularan COVID-19. Oleh yang demikian, KPM telah membuat ketetapan untuk melanjutkan sesi persekolahan tahun 2021 sehingga bulan Februari tahun 2022.

KPM telah menetapkan sesi persekolahan bagi kalendar akademik sesi 2022/2023 bermula pada bulan Mac 2022. Pelanjutan sesi ini membolehkan pihak sekolah merancang dan melaksanakan aktiviti pemulihan, pengukuhan dan pengayaan secara intensif bagi meningkatkan kesediaan murid untuk mengikuti tahun persekolahan berikutnya.

KPM akan meneliti cadangan untuk mengembalikan semula kalendar akademik persekolahan bermula pada Januari seperti sebelum ini. Walau bagaimanapun, perkara berkenaan masih belum boleh dilaksanakan tahun hadapan memandangkan perlu menyelesaikan pelbagai justifikasi berdasarkan kepada pematuhan kepada Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Perubahan semula kalendar akademik persekolahan juga perlu mengambil kira faktor ekonomi setempat dan banjir pada hujung tahun, selain tidak mengganggu jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sesi persekolahan bagi Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 masih dikekalkan pada bulan Mac 2023 untuk memastikan KPM mematuhi Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penggal, Hari dan Cuti Sekolah) 1998 (Pindaan) 2021 yang menetapkan bahawa jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik hendaklah tidak kurang daripada satu ratus sembilan puluh (190) hari.

KPM sentiasa melihat kepada keperluan dan kesesuaian penyediaan kalendar akademik untuk tahun seterusnya bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Sekian, terima kasih.

Dewan Rakyat Oral Question 2023 to the Minister of Education | 15 March 2023

15 March 2023, Wednesday (Bahasa Melayu Version)


SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan langkah-langkah Kementerian untuk mengatasi masalah kesesakan/kekurangan sekolah di kawasan-kawasan bandar yang berkembang pesat terutamanya di Lembah Klang.


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa berusaha secara berterusan dalam memastikan penyediaan kemudahan sekolah adalah mencukupi bagi keperluan masyarakat setempat. Sehubungan dengan itu, kesesakan murid di sekolah bandar terutama di kawasan Lembah Klang adalah dalam perhatian KPM.

Dalam hal ini, KPM telah mengambil langkah yang proaktif untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik bagi menangani masalah tersebut. Perkara ini penting bagi memastikan murid boleh belajar dengan selesa, kondusif dan dapat memberi fokus kepada pembelajaran dengan baik.

Antara usaha yang diambil oleh pihak KPM bagi mengatasi masalah tersebut adalah melalui penambahan bilik darjah di sekolah sedia ada berdasarkan keperluan dan kesesuaian tapak, atau pembinaan sekolah baharu.

Dalam konteks pembinaan sekolah baharu, KPM sentiasa mendapat input dan cadangan daripada jabatan pendidikan negeri (JPN). Seterusnya, KPM akan melaksanakan analisis keperluan pembinaan sekolah baharu secara terperinci. Antara perkara yang diambil kira adalah bilangan dan kapasiti sekolah sedia ada, kepadatan penduduk di kawasan sekitar, liputan kawasan tadahan penduduk (catchment area) serta perancangan pembangunan kawasan tersebut berdasarkan perbincangan bersama-sama pihak berkuasa tempatan (PBT).

KPM akan mengemukakan permohonan mengenai cadangan pembinaan bilik darjah tambahan dan pembinaan sekolah baharu dalam rancangan Malaysia lima tahun (RMLT). Walau bagaimanapun, permohonan tersebut adalah tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan agensi pusat serta kedudukan semasa kewangan Kerajaan.

Sekian, terima kasih.

Dewan Rakyat Oral Question 2024 to the Minister of Education | 29 February 2024

29 February 2024, Thursday (Bahasa Melayu Version)


SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian untuk meningkatkan prestasi pelajar dalam membaca, mengira (matematik) dan sains memandangkan kedudukan Programme for International Student Assessment (PISA) Malaysia 2022 menurun lagi. 

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa berusaha memastikan murid menguasai literasi, numerasi dan bidang sains seterusnya dapat meningkatkan kualiti sistem pendidikan di peringkat antarabangsa.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, KPM telah dan sedang mengambil tindakan bagi meningkatkan prestasi murid dalam literasi, numerasi dan sains. Tindakan ini merangkumi aktiviti dan program seperti berikut:

i. menyediakan bahan bantu belajar literasi dan numerasi untuk murid di bawah Program Literasi dan Numerasi (PLaN);
ii. menyediakan bahan sokongan pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains;
iii. meningkatkan kompetensi guru dalam kandungan dan amalan pendekatan PdP berkaitan literasi, numerasi dan sains;
iv. mengesan keupayaan literasi dan numerasi murid; dan
v. menyediakan Kurikulum Moderasi bagi mata pelajaran Matematik dan Sains Tahap I.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, latihan pembangunan profesionalisme dilaksanakan secara berterusan kepada guru sekolah rendah dan menengah bagi memastikan guru melaksanakan PdP dengan lebih berkesan. Pembangunan kompetensi guru sekolah rendah secara menyeluruh terutamanya dalam aspek literasi, numerasi dan sains terus diberi penekanan supaya keupayaan murid dalam bidang ini dapat ditingkatkan. Manakala bagi guru sekolah menengah, pengukuhan kepada mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains turut diberi keutamaan khususnya kepada kohort yang bakal menduduki PISA pada masa akan datang. Pengesanan keupayaan murid dalam literasi dan numerasi juga akan dilakukan semasa Program Transisi Murid Tahun 1 bagi membolehkan tindakan pemulihan diambil lebih cepat.

KPM juga telah membangunkan bahan sokongan PdP khususnya dalam bidang bacaan, Matematik dan Sains. Bahan-bahan ini dibangunkan sebagai bahan rujukan dan panduan kepada guru ke arah meningkatkan keupayaan murid dalam bidang tersebut dan meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) murid. KBAT juga dilaksanakan melalui Pentaksiran Kompetensi dan Literasi (PKL). PKL dilaksanakan kepada murid sebagai satu inisiatif KBAT dalam konteks pentaksiran. PKL terdiri daripada item berkaitan literasi saintifik, matematik, bacaan dan kewangan yang melibatkan murid sekolah rendah dan menengah.

Terkini Modul Bimbingan (MOBIM) dalam bidang sains, matematik dan bahasa telah dibangunkan. MOBIM bagi Tahun 1 telah disebarkan pada tahun 2023 manakala MOBIM Tahun 2, Tahun 3 dan Tahap II pula akan disebarkan mulai Mei 2024 secara berperingkat untuk kegunaan semua guru. MOBIM bukan sahaja mengandungi cadangan aktiviti dan panduan kepada guru, malah ia juga mengandungi contoh lembaran kerja yang disusun secara ansur maju dan boleh diadaptasi oleh guru sesuai dengan keupayaan murid mereka.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, KPM juga sedang membangunkan kurikulum moderasi bagi Matematik dan Sains yang dijajarkan daripada Kurikulum Standard Sekolah Rendah (Semakan 2017) dengan memberi penekanan kepada penguasaan kandungan asas sebelum maju kepada kandungan yang lebih tinggi. Kurikulum moderasi akan digunakan mulai Mac 2024 hingga tamat sesi persekolahan tahun 2026 dan pelaksanaannya akan disokong oleh MOBIM.

KPM sangat prihatin kepada penguasaan literasi, numerasi dan kandungan sains murid. KPM yakin usaha berterusan dari semua pihak berupaya meningkatkan penguasaan murid dan seterusnya dapat meningkatkan kedudukan PISA pada peringkat antarabangsa.

Sekian, terima kasih.